Saturday, 27 October 2012

BN: Satu badan, banyak kepala

Oleh: Belek

Bertemankan sekeping roti berintikan telur, belek-belek jumpa kuliah seorang pembesar yang tidak asing lagi, Nazri Aziz. Kuliah siasah syar’iyah, jangan main-main tau! Nazri kata Malaysia ni diasaskan dengan prinsip pentadbiran Islam di bawah raja-raja Melayu dan bukannya sekular. Dalilnya mudah. Ada dua dalil penting.

Satu, Perlembagaan tak pernah pun sebut sekular. ‘Seku’ atau ‘ular’ pun tak ada. Jadi macam mana pula boleh kata Malaysia ni negara sekular. Sebagai contoh dalam nama Nazri tak ada pun Chua, Soi atau Lek. Maka mana mungkin Nazri itu Chua Soi Lek yang sedang bergebang kata pemerintahan Islam ni akan membawa kemunduran. Yang ada pada nama Nazri cuma di tengahnya ada huruf ‘Z’.

Dalil kedua Nazri untuk memperkukuh istinbat bahawa Malaysia ini pemerintahan berprinsipkan Islam adalah bahawasanya perlembagaan menyebut Islam merupakan agama persekutuan. Maka dengan itu Islamlah negara ini. Contohnya, jika Nazri menukar namanya kepada Nazri Islam Aziz, maka bertambahlah Islamnya dia. Ini kerana namanya menyebut dengan jelas perkataan Islam. Walaupun bergesel pipi dengan MCA yang menakut-nakutkan orang bukan Islam kepada Islam.

Kenapa agaknya Nazri berkuliah tentang negara Islam hari ini, sejurus selepas serangan bertubi-tubi terhadap pemerintahan yang berunsurkan Islam oleh teman seperjuangannya di dalam MCA?

Sedang aku mengunyah roti berinti telur tadi jatuh satu dokumen terkena kepalaku, tercampak rotiku. Rupa-rupanya dokumen itu Resolusi-Resolusi Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda MCA Yang ke-48. Ini barang baru, siapa yang hantarkannya dari langit itu Tuhan saja yang tahu. Belek punya belek ternampak resolusi ke-3. Fulamak, resolusi tersebut mengatakan:

“Mempertahankan sepenuhnya sistem pentadbiran sekular negara kita yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan serta menolak sebarang bentuk pentadbiran ektremis agama dan hukum hudud.”

Kalau sebelum ni Pakatan Rakyat dituduh tidak sekepala. Nampaknya Barisan Nasional ini dah serupa Cerberus, anjing berkepala tiga dalam mitos Yunani. Badan dan ususnya sama, untuk menghadam kekayaan negara yang dibolot mereka. Tetapi kepalanya banyak.

Berbeza dengan Pakatan Rakyat yang secara terbuka mengatakan mereka bersetuju untuk tidak bersetuju dan saling menghormati perbezaan. Ini kerana matlamat yang dikongsi mereka jauh lebih besar daripada perbezaan tersebut. Rejim Cerberus ini pula cuma berdolak-dalik. Semua kepala mahu menggigit tetapi mereka tetap bukan satu kepala, tetapi beberapa kepala. UMNO cuba meraih undi dengan mempromosikan betapa Islamnya mereka dengan menyerang DAP. MCA pula akan cuba meraih undi dengan menunjukkan betapa sekularnya mereka dan betapa buruknyaPAS.

Sebab itu kita nampak Sheikhul Akbar Nazri Aziz berkuliah tentang betapa Islamnya negara Malaysia ini sedangkan rakan yang satu lagi sedang bermain wayang betapa mereka teguh memperjuangkan pemerintahan sekular.

Adakah Nazri Aziz atau pemimpin UMNO yang merupakan pembesar ‘pemerintahan Islam’ akan menampar muka rakan-rakan MCA mereka? Atau apakah MCA akan memberikan tumbukan sekular kepada abang besar mereka yakni UMNO?

Ah, masa untuk menikmati roti takda telur pula. – Roketkini.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
There was an error in this gadget

TERIMA KASIH KERANA MENG"KLIK"...

Blog Pro PR (1)